BAB8
9 SEPTEMBER 2006
HOSPITAL SUNGAI PETANI (HSP)
Untuk kesekian kalinya, dia terkulai lagi di katil hospital. Dia tatapi wajah-wajah bersih yang sentiasa memberi pengharapan walaupun pada dasarnya mereka sudah tahu yang dia sudah tidak punya peluang untuk kembali seperti biasa. Segala makan minumnya hanya mengharapkan ihsan tangan- tangan yang sudi membantu.
“Akak, makan sikit,” Ujar Aza, jururawat yang bertugas.
Bukan dia tidak mahu. Tapi kudrat yang ada, rasanya tidak lagi mampu menjamah rezeki Tuhan. Semua makanan yang dimakan akan tersembur semula. Hanya air mata yang mengalir perlahan tatkala menatap wajah-wajah insan tersayang disisinya. Dia tidak mampu bergerak walau seinci. Keadaannya seperti mayat hidup.
Dilihatnya lelaki yang sudah dia akui sebagai ayah bercakap-cakap dengan seorang doktor muda. Dr. Nadia. Dia membaca pada nama yang terdapat di dada wanita itu. Doktor itu kemudian berjalan ke arah Amilia. Dilemparkan senyuman yang sangat manis di mata Amilia. Hatinya terusik.
Kepada Amilia, Dr. Nadia menerangkan sejarah penyakitnya. Bagaimana dia boleh terlantar tidak bermaya seperti sekarang. Sekali lagi air matanya tumpah. Begitu sekali dugaan yang telah dia hadapi selama ini. Dia sudah tidak ingat semua kesengsaraan yang dihadapinya. Bagaimana sakit rasanya dia disuntik dengan cecair interferon untuk mengawal barah darah yang dihidapinya. Apatah lagi rawatan kemoterapi yang dilaluinya berkali-berkali sebelum ini setelah cecair interferon tidak membantu.
“Sakittt makk!!!” rintihnya berulang kali dengan juraian air mata setiap kali terasa bisanya rawatan kemoterapi. Sungguh menyakitkan. Dia hampir berputus asa.
“Sabar Ami. Ami kan kuat. Ingat ALLAH Ami. Ibu dan ayah sentiasa bersama Ami.” Suara sebak Mak Leha sayup-sayup melewati ke halwa pendengaran Amilia.
Aku kena kuat. Jangan menangis Leha. Aku harus kuat!
Mak Leha bertegas dengan dirinya. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya sengsara sebegini.
‘Ya ALLAH, kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk melalui saat-saat getir ini. Kau ampunkanlah dosa-dosaku andai aku pergi di saat ini. Ampunkanlah dosa hambamu yang lemah ini, ampunkan dosa kedua-dua orang tuaku. Tabahkanlah hatiku seperti mereka.’
Hanya doa mampu disisipkan di dalam hati. Sebaik sahaja selesai rawatan, dia terasa lemah. Sangat lemah. Benarlah sebagaimana yang didengarnya sebelum ini, rawatan ini menyakitkan. Pandangannya berpinar-pinar dan perutnya terasa mual.
click continue reading..