KEESOKAN harinya, pagi-pagi lagi aku ke rumah Julia, membantu apa yang patut. Majlis akad nikah akan berlangsung selepas asar. Selepas solat jumaat, Julia mula diandamkan.
Aku menjadi teman setia di sisi Julia. Mengelap peluhnya, mengipas dia apabibila dia meronta-ronta kepanasan. Hai, baiknya aku! Tak apa, sekali sahaja seumur hidup!
Selepas solat asar, kami mula bergerak ke masjid berhampiran untuk upacara akad nikah. Julia mengenakan kebaya moden bewarna krim dan dipenuhi dengan sulaman labuci dan manik yang cantik. Aku pula hanya memakai kurung moden dengan warna sedondon. Sibuk betul Julia menyuruh aku memakai baju sedondon dengannya. Kalau ditaja tu, baguslah juga. Ini tidak, sendirian berhad. Mujur aku ada satu!
“hai Nurin!” tegur Luthfi ketika aku sedang menunggu Julia di luar masjid. Lama pula dia orang ni tanda tangan surat nikah!
“hai..” balasku acuh tak acuh. Tadi tak nampak pula dia di rumah Julia. Tiba-tiba muncul kat sini. Dah tu siap dengan baju melayu lengkap macam dia pula yang bernikah.
“nice. Nampak natural!”
Aku memandangnya yang sedang merenung wajahku. Perlu ke dia mengulas macam tu? dahi, aku kerutkan seribu. Tanda tidak faham dengan ‘nice’ yang dia maksudkan.
“make up awak. Cantik,” balasnya seolah-olah mengerti dengan isyarat yang aku maksudkan.
“oh, thank you..” ucapku pula. dah orang puji. Terima kasih jelah. Ikhlas ke tak ikhlas ke belakang cerita.
Dia masih lagi memandangku. naik rimas aku dibuatnya. Mujur tidak lama selepas itu, Julia dan bakal suaminya keluar dari pejabat di masjid itu. aku segera mendapatkan Julia dan kemudian menemaninya ke dalam masjid seperti yang diarahkan untuk majlis akad nikah.
“kenapa Luthfi ada dengan pengantin lelaki?” aku berbisik di telinga Julia ketika kami sedang menunggu khutbah dibacakan kepada pengantin lelaki.
“kau cari dia juga sebenarnya ya?” balas Julia lalu ketawa perlahan.










